Jumaat, 27 Jun 2014

RENUNGAN HARI INI

Dari Abu hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu.” Sahabat bertanya, ‘Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?’

Nabi saw menjawab, “Penyakit-penyakit itu ialah : (1). Terlalu banyak (ber)seronok, (2).Terlalu mewah, (3). Menghimpun harta sebanyak mungkin, (4). Tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5). Saling memarahi, (6). Hasud menghasud sehingga jadi zalim menzalimi.” (Riwayat Hakim)

Penjelasan dan Pengajaran :
a. Penyakit-penyakit tersebut jelas terpampang di depan mata kita sekarang ini. Penyakit tersebut adalah penyakit rohani yang melanda umat Islam kini.

b. Jika diperhatikan, kesemua penyakit di atas adalah kerana hilangnya nilai-nilai akhlak murni. Hilangnya nilai-nilai akhlak tersebut kerana sistem pendidikan yang hanya mementingkan nilai akademik semata-mata tanpa menghiraukan pendidikan agama dan moral.

c. Krisis kerohanian ini hanya boleh diselesaikan apabila umat Islam kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah dalam setiap aspek kehidupan, pendidikan terutamanya.

Khamis, 26 Jun 2014

RENUNGAN HARI INI

Dari Miqdam bin Ma’dikariba r.a : Rasulullah saw bersabda, “Hampir tiba di suatu masa di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadis daripada hadis ku (Hadis Nabi saw),
Maka ia (golongan anti hadis) berkata, ‘Pegangan kami dan kamu hanyalah kitabullah (Al-Quran) sahaja. Apa yang dihalalkan oleh Al-Quran kami halalkan; dan apa yang diharamkan, kami haramkan.’

Kemudian bersabda Nabi saw), “Padahal apa yang diharamkan oleh Rasulullah saw samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah SWT.” (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Penjelasan dan Pengajaran:

Telah ada golongan anti hadis ini merosakkan akidah umat Islam, oleh itu kita perlu berhati-hati dan peka serta membasmi pemikiran mereka ini sedaya-upaya.

Rabu, 25 Jun 2014

AHLAN YA RAMADHAN 1435

Syukur kami padaMu Ya Allah atas segala nikmat yang telah kami terima dan nikmat yang akan datang. NikmatMu yang tak putus - putus merupakan bentuk kasih sayang-Mu Ya Allah. Dan ampunilah segala dosa yang melekat pada diri kami ini. Di bulan Ramadhan ini, kami memohon keampunan dariMu…


SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN SEMESTER





RENUNGAN HARI INI

Dari Abu Sa’id Al-Khudri r.a: Rasulullah saw bersabda, “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.”

Sahabat bertanya, ‘Ya Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?’ Nabi saw menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka.” [Riwayat Muslim]

Penjelasan dan Pengajaran:

a. Umat Islam akan mengikut cara hidup orang-orang Yahudi dan Nasrani dalam pelbagai keadaan, baik dari segi pemerintahan mahupun yang lebih parah lagi; dari segi pemikiran dan kerohanian.

b. Umat Islam perlu kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah dari semua aspek kehidupan, iaitu menghidupkan kerohanian keIslaman (rasa cinta pada Islam atas dasar tauhid), pemerintahan Islam, pendidikan Islam, perundangan Islam, ekonomi Islam dan sistem kemasyarakatan berasaskan Islam.

Selasa, 24 Jun 2014

HADITH HARI INI

Dari Tsauban r.a : Rasulullah saw bersabda, “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengemuruni kamu (umat Islam) bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.”

Maka salah seorang sahabat bertanya, ‘Apakah dari kerana (bilangan) kami sedikit pada hari itu?’ Nabi saw menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak (ramai) sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu; dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’.”

Seorang sahabat bertanya, ‘Apakah wahan itu hai Rasulullah?’ Nabi saw menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati.” [Riwayat Abu Daud]

Penjelasan dan Pengajaran:

a. Sepertimana kita lihat umat Islam pada ketika ini berjumlah lebih kurang 1.6 billion seluruh dunia tetapi kita dijadikan seperti ‘lauk di dalam talam’ oleh orang kafir. Maha Benar Allah dan Rasul-Nya.

b. Hadis ini merupakan motivasi kepada seluruh umat Islam agar bangkit dan kembali dengan sebenar-benar kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah dan bukannya hanya menyerah dan lembik kepada orang kafir.

c. Allah yang Maha Agung akan mencabut kemuliaan orang Islam apabila umat Islam cenderung kepada cinta dunia (tamak, rakus dan cinta pada harta umumnya) dan takut mati (leka dan lupa pada hari pembalasan dan takut berjihad di jalan Allah yang Maha Tinggi).

Isnin, 23 Jun 2014

RENUNGAN HARI INI

Dari Zainab binti Jahsy r.a (isteri Rasulullah saw), katanya : Rasulullah saw masuk ke dalam rumahnya dalam keadaan cemas sambil bersabda, “La ilaa ha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (bencana) yang sudah hampir menimpa mereka.

Pada hari ini telah terbuka dinding Ya’juj dan Ma’juj,” dan Baginda saw menemukan ujung ibu jari dan ujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan.

Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya, ‘Ya Rasulullah, apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang soleh?’ Lalu Nabi saw bersabda, “Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak.” [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Penjelasan dan Pengajaran:

a. Rasulullah saw berasa cemas akan malapetaka akibat keluarnya Ya’juj dan Ma’juj. Perlu diingat, perkara yang membuatkan Rasulullah saw sendiri cemas, maka apalagi kita. Bersamalah kita berdoa agar terselamat dari huru-hara itu.

b. Walaupun disebutkan bangsa Arab secara khusus namun lafaznya adalah umum kepada umat manusia.

c. Kemungkaran dan kemaksiatan yang berlaku hendaklah segera dibasmikan kerana bencana yang berlaku pada sesuatu kaum yang jahat, turut menimpa penduduk yang berada di sekitar mereka.

Jumaat, 20 Jun 2014

PROGRAM HALAQAH AL-QURAN 30 JUZU'

KEPADA YANG BERMINAT UNTUK MENYERTAI SILA ISI BORANG YANG DISEDIAKAN DAN HANTAR KE ALAMAT YANG TERTERA DI DALAM BORANG.

TARIKH TUTUP 10 JULAI 2014 (KHAMIS)



Renungan Bersama..

Dari Irbadh bin Sariyah r.a, katanya : Telah menasihati kami oleh Rasulullah saw akan satu nasihat yang menggentarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, ‘Ya Rasulullah, seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali, maka berilah pesanan kepada kami.

Lalu Baginda saw bersabda, “Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba.

Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan Sunnah ku dan sunnah para Khulafa Ar-Rasyidin Al-Mahdiyin (Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali r.a) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bid’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu sesat.” (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi)

Penjelasan dan Pengajaran :
[a]. Sentiasa bertakwa kepada Allah yang Maha Agung iaitu, beriman dan beramal soleh. Mengerjakan segala yang diperintah dan menjauhi segala larangan-Nya.

[b]. Mentaati pemerintah walaupun ia dari keturunan hamba.

[c]. Perselisihan yang banyak akan terjadi selepas kewafatan Nabi saw dan hendaklah kita tetap berpegang pada sunnah Nabi saw dan para sahabatnya walaupun bersendirian.

[d]. Menjauhi perkara-perkara ibadah yang direka-reka kerana ia membawa kepada kesesatan. Maksudnya; mengandaikan penyampaian Nabi saw tidak sempurna lalu dibuat ibadah yang tiada sumbernya dari Rasulullah saw.

Khamis, 12 Jun 2014

KONFERENSI KEBANGSAAN PENGURUSAN ZAKAT IPT 2014 - DEWAN SRI BUDIMAN, UiTM SHAH ALAM

Gambar sepanjang program berlangsung selama 2 hari 10-11 Jun 2014 di Dewan Sri Budiman, UiTM Shah Alam.