Jumaat, 20 Jun 2014

Renungan Bersama..

Dari Irbadh bin Sariyah r.a, katanya : Telah menasihati kami oleh Rasulullah saw akan satu nasihat yang menggentarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, ‘Ya Rasulullah, seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali, maka berilah pesanan kepada kami.

Lalu Baginda saw bersabda, “Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba.

Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan Sunnah ku dan sunnah para Khulafa Ar-Rasyidin Al-Mahdiyin (Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali r.a) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bid’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu sesat.” (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi)

Penjelasan dan Pengajaran :
[a]. Sentiasa bertakwa kepada Allah yang Maha Agung iaitu, beriman dan beramal soleh. Mengerjakan segala yang diperintah dan menjauhi segala larangan-Nya.

[b]. Mentaati pemerintah walaupun ia dari keturunan hamba.

[c]. Perselisihan yang banyak akan terjadi selepas kewafatan Nabi saw dan hendaklah kita tetap berpegang pada sunnah Nabi saw dan para sahabatnya walaupun bersendirian.

[d]. Menjauhi perkara-perkara ibadah yang direka-reka kerana ia membawa kepada kesesatan. Maksudnya; mengandaikan penyampaian Nabi saw tidak sempurna lalu dibuat ibadah yang tiada sumbernya dari Rasulullah saw.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan